About Me

Novel : Mungkin Dia Takdirku ( Prolog )

Debab Aisyah Bt Daud Adam.

        Namanya pun sudah cukup buat orang tersenyum panjang. Kalau senyum tanda mesra, tak apa juga. Ini senyum kerana geli hati. Senyum mengejek.

        Memanglah nama itu pelik bunyinya. Dan nama pelik itu mencuit hati mereka. Malahan bila Debab Aisyah sebut saja namanya pada mereka, tawa mereka terburai. Gelak ilai berderai. Tak dapat dikawal-kawal lagi perasaan mereka. 

        Setiap kali diketawakan, muka Debab Aisyah jadi merah padam. Matanya berair seakan-akan mahu menangis. Debab Aisyah malu. Ya, perasaan malunya itu kerana terasa dirinya terlalu hina. Kalau setakat nama peliknya itu tak apa juga. Apa yang melucukan, namanya sesuai benar dengan orangnya.

        Badan Debab Aisyah memang tiada potongan langsung. Gemuk. Tembam. Macam tong dram. Kalau nak dipeluk tak cukup tangan. Kalau batang balak tak apa juga besar-besar, lagi besar lagi mahal. Ini batang tubuh manusia. Lagi besar, lagi susut nilainya.

        Mukanya bulat macam bola walaupun hidungnya persis hindustan. Mancung terletak. Kulitnya cerah dan wajahnya cukup manis. Apatah lagi bila dia tersenyum. Rambut Debab Aisyah ikal mayang, panjang ke paras pinggang. 

       Kalaulah dia kurus dan ada potongan, pastinya berebut mahu mengambilnya menjadi model. Gerenti pasti cute punya. Barangkali anak anak teruna tergila-gilakan dia, terigau-igau menyebut namanya. 

       Tapi apakan daya. Badannya sentiasa mekar berkembang. Pipinya sudah seperti disumbat pau. Semua yang terjadi pada dirinya seolah-olah mahu memadankan lagi rupa parasnya dengan namanya. Itulah ramai orang ketawa berguling setiap kali mendengar sebaris nama milik nya.

       Debab Aisyah tahu. Dia tidak boleh kompelin atau mempersoalkan perkara yang dianugerahkan dalam kehidupannya. Itu semua sudah kehendak Tuhan. Pasti ada terpalitnya hikmah.

       Apa yang dia kesal, keterlajuran ayahnya membubuh namanya Debab semasa dia lahir ke dunia. Macamlah tiada nama lain yang sedap-sedap sikit. Aisyah sahaja pun sudah cukup memadai. Tidak perlu menambah gelaran Debab dihadapan. Lagi pula dia bukan hidup pada zaman dahulukala. Debab Aisyah hidup pada zaman moden. Zaman teknologi dihujung jari. 

       Bukan sahaja teknologi yang moden, nama orang sekarang pun sudah terlalu moden. Kalau dia hidup zaman dahulu tak apa juga. Orang zaman dulu tidak kesah malah sudah lali. Nama hari pun boleh dibuat nama. 

       Mentang-mentang si ayah dapat nama canggih - Daud Adam B. Debbie - takkanlah dia nak balas dendam pada si anak dengan memberi nama seteruk itu. Daud Adam tak gemuk pun. Malahan kurus dan tinggi orangnya. Muka boleh tahan juga. Maklumlah, kacukan Belanda dan Melayu. 

        Khadeeja, emak Debab Aisyah, pun taklah gemuk mana. Wajahnya kuning langsat dan lesung pipit manis di pipi kirinya. Badan Debab Aisyah pula jauh beza, macam dipam-pam. Yang tak adil tu, dua orang abangnya ikut bentuk badan ayahnya, kurus dan tinggi lampai. Handsome pulak tu.

        Debab Aisyah tidak larat menutup mulut orang. Kalau diejek, dia gemar menyendiri kemudian menangis sendiri. Mungkin sudah habuannya untuk jadi insan yang sabar. Sewaktu zaman sekolah dahulu, cikgu-cikgu sekolahnya sahaja yang tidak pernah menyinggung perasaannya.

        Malah menyanjung dirinya tinggi. Dia selalu mendapat keputusan cemerlang pada setiap peperiksaan. Tidak hairanlah Debab Aisyah mendapat straight A dalam peperiksaan SPM. Impiannya mahu menjadi seorang pramugari. Tetapi terus dilupakan hasratnya disebabkan sedar kekurangan dirinya. 

         Mulutnya tidak pernah menyatakan hasrat mahu menjadi seorang pramugari. Dia yakin, orang yang mendengarnya pasti boleh ketawa tergolek masuk gaung. Oleh itu di universiti Debab Aisyah memilih bidang kedoktoran. Dia ada jawapan tersendiri untuk pilihan kerjayanya itu.

        " Kenapa kau nak jadi doktor eh?" Pernah kawannya bertanya bila dia menyatakan cita-citanya.

        " Aku nak mengkaji perubatan moden yang dapat membantu orang gemuk macam aku ni supaya dapat jadi kurus." Dia berterus terang. 

        Debab Aisyah sangat yakin akan impiannya. Dia percaya pada kebolehannya. Dan mungkin Tuhan beri dia ujian sebegini dalam kehidupan untuk dia belajar berusaha mencari solusi. Ya, cita-cita Debab Aisyah wajar disanjung tinggi.

Tiada ulasan: